ISRAK MIKRAJ

 

PENGENALAN

PERISTIWA ISRAK MIKRAJ

PENGAJARAN & TELADAN

KESIMPULAN

 

 

 

 

Pengenalan

SETIAP tahun pada bulan Rejab, umat Islam di seluruh dunia akan mengingati peristiwa bersejarah yang berlaku pada bulan berkenaan iaitu Israk dan Mikraj.

Seperti biasa pelbagai atur cara diadakan bagi memperingati peristiwa bersejarah itu yang dianggap mengandungi rahsia dan hikmah dalam usaha kita menjadi hamba Allah yang bertakwa.

Pengertian Israk bermaksud perjalanan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dengan menunggang ‘Buraq’ iaitu makhluk syurga, dari Masjidilharam di Mekah menuju ke Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis pada satu malam.

Peristiwa itu telah dijelaskan oleh Allah melalui firman-Nya dalam surah al-Isra’ ayat 1 yang bermaksud: Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada satu malam dari Masjidilaqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dialah Maha Mendengar Lagi Maha Melihat.

Mikraj pula bererti Baginda dinaikkan ke langit dari Baitulmaqdis menuju beberapa tingkat hingga langit yang ketujuh terus ke Sidratulmuntaha dan al-Mustawa.

Tujuan kita menyambut perayaan Isra’ dan Mi’raj bagi memperingati peristiwa Nabi Muhammad SAW berjalan malam dari al-Masjid al-Haram ke al-Masjid al-Aqsa. Peristiwa ini memberi kita banyak peringatan untuk dihayati oleh seluruh umat manusia supaya kita senantiasa berpegang teguh akan suruhan dan larangan Allah SWT.

Sesungguhnya janji-janji Allah itu adalah benar. Peristiwa ini dicetuskan oleh Allah SWT bertujuan menggembirakan Nabi Muhammad SAW, yang pada ketika itu Nabi Muhammad SWT berada dalam keadaan sedih yang amat sangat. Beliau kehilangan dua orang yang paling disayanginya, yang banyak berkorban dan banyak berbuat berjasa serta membantu beliau menjalankan tugas-tugasnya sebagai pesuruh Allah.

Mereka yang dimaksudkan ialah isteri Baginda sendiri, Siti Khadijah telah kembali ke Rahmatullah diikuti bapa saudaranya, Abu Talib yang banyak membantu dan menjadi benteng Rasulullah SAW menyampaikan dakwahnya. Kehilangan mereka berdua menyebabkan tekanan untuk menyekat perkembangan dakwah Baginda dari kaum Quarish semakin meningkat. Baginda tiada tempat lagi untuk mengadu.

Oleh itu, untuk memulihkan semangat juangnya kembali, Allah SWT mengangkat Nabi untuk diperlihatkan akan kekuasaanNya apa yang ada di bumi, di langit dan di lautan.

Peristiwa Rasulullah SAW Isra’ dari al-Masjid al-Haram ke al-Masjid al-Aqsa dan Mi’raj ke langit adalah salah satu mukjizat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada Baginda. Malah boleh dikatakan bahawa ia adalah kemukjizatan Baginda yang kedua terbesar sesudah al-Quran al-Karim. Syaikh Najmuddin al-Ghaithiy berkata:

“Segenap kaum muslimin telah bersepakat untuk menerima kebenaran peristiwa Isra’ dan Mi’raj Rasulullah SAW, iaitu satu malam di mana baginda diperjalankan oleh Allah ‘Azza wa Jalla dari al-Masjid al-Haram di Makkah ke al-Masjid al-Aqsa di Palestin dan dinaikkan ke langit sehingga ke Sidratul Muntaha. Tujuan Isra’ dan Mi’raj adalah agar hambaNya dan RasulNya (Muhammad SAW) dapat menyaksikan secara langsung betapa besar kekuasaan Allah SWT serta keajaiban-keajaiban ciptaanNya yang tidak mungkin diketahui oleh manusia di bumi dan tidak jangkau oleh akal fikiran mereka.

Ia adalah sesuatu yang hanya dapat dijangkau oleh keimanan yang mantap, teguh lagi suci”.

Kita sebagai umat yang beriman menyedari bahawa mukjizat Baginda yang berupa peristiwa Isra’ dan Mi’raj adalah sesuatu yang sungguh besar, sungguh ajaib serta mengagumkan sesudah mukjizat Baginda berupa kitab suci al-Quran yang sehingga sekarang bahkan sehingga bila-bila jua dapat disaksikan (kemujizatan) isi kandungannya. Tidak ada makhluk yang berupaya mengubahkannya.

Isra’ dan Mi’raj merupakan satu peristiwa yang agung kerana tiada seorang Nabi mahupun Rasul yang diberi penghormatan oleh Allah SWT untuk mengalaminya, hanya Nabi Muhammad SAW sahaja yang diberi anugerah ini. Ia adalah satu tanda ketinggian dan keagungan Baginda di sisi Allah SAW” [Qishah al-Mi’raj (edisi terjemahan oleh A. Zakiy dengan judul Menyingkap Rahasia Isra’ – Mi’raj Rasulullah; Pustaka Setia, Bandung 2000), ms. 13]

Apabila Rasulullah SAW kembali daripada Isra’ dan Mi’raj, Baginda menerangkannya kepada kaumnya di Kota Makkah akan peristiwa yang baru dialaminya. Sebahagian daripada orang Islam yang lemah imannya mengingkari khabar tersebut dan murtad daripada Islam. Sementara yang selainnya daripada kalangan kaum kafir turut menolak khabar tersebut. Mereka menuduh Baginda hanya berdusta atau setidak-tidaknya baginda hanyalah bermimpi.

Penolakan peristiwa Isra’ dan Mi’raj masih berlaku sehingga hari ini daripada kalangan umat Islam. Bezanya penolakan mereka dilakukan dengan cara yang lebih halus dan licik. Lebih tepat, mereka adalah orang Islam yang beraliran modernis atau Islam Liberal yang mengunggulkan akal di atas wahyu sehingga apa jua petunjuk wahyu yang tidak logik di sisi akal mereka akan ditolak atau didustakan.

 

 

PERISTIWA ISRAK MIKRAJ

1. Sebelum Israk dan Mikraj
Rasulullah S. A. W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati Baginda S. A. W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam (’alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman. ke dalam dada Rasulullah S. A. W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”. Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu.

2. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa) :
Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S. A. W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A. S. menerima wahyu daripada Allah;
Baitul-Laham (tempat Nabi ‘Isa A. S. dilahirkan);
Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S. A. W. menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S. A. W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
Tempat yang berbau harum. Rasulullah S. A. W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).
Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang.
Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.
Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.
Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.
Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.
Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.
Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.
Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S. A. W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.
Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum. Rasulullah S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilihan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

3. Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S. A. W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Langit Pertama:
Rasulullah S. A. W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A. S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.
Langit Kedua:
Nabi S. A. W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa A. S. dan Nabi Yahya A. S.
Langit Ketiga:
Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A. S.
Langit Keempat:
Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A. S.
Langit Kelima:
Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A. S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
Langit Keenam:
Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A. S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.
Langit Ketujuh:
Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S. A. W., Nabi Ibrahim A. S. bersabda, “Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu lah HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH”. Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim A. S. bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA lah ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA lah HAULA WA lah QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-’AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga”. Setelah melihat beberpa peristiwa! lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).
Tangga Kelapan:
Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S. A. W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.
Tangga Kesembilan:
Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
Tangga Kesepuluh:
Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S. W. T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:
Allah S. W. T : Ya Muhammad. Rasulullah : Labbaika. Allah S. W. T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan. Allah S. W. T : aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

4. Selesai munajat
Rasulullah S. A. W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A. S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S. A. W. merayu kepada Allah S. W. T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

5. Selepas Mikraj
Rasulullah S. A. W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu’alam.
(Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa`id)

 

PENGAJARAN DAN TELADAN

Sepanjang perjalanan bersejarah itu, Allah s.w.t telah memperlihatkan kepada Rasulullah pelbagai peristiwa dan kejadian yang boleh dijadikan iktibar oleh umat Islam dalam mencari keredhaan-Nya.

Persoalannya sejauh manakah apa yang dipaparkan dalam peristiwa Israk dan Mikraj dijadikan iktibar oleh kita.

Renung, lihat dan kajilah bagaimana pembalasan yang diterima oleh manusia di akhirat terhadap perbuatan mereka seperti mana dilihat oleh Rasulullah masih berleluasa pada masa ini.

Dalam perjalanan itu, Baginda melihat sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka.

Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula, perbuatan itu dilakukan berulang kali.

Jibril memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

Atas sebab itulah Baginda pernah bersabda bahawa solat adalah tiang agama dan asas kepada ibadah lain, oleh itu sesiapa yang meninggalkannya dianggap melakukan dosa besar.

Solat

Tetapi berapa ramai di antara kita masih menganggap remeh soal solat ini, bukan sahaja ada antara kita jarang melakukannya malah ada antaranya langsung tidak pernah meringan tubuh untuk sujud kepada Allah Yang Maha Esa yang mengizinkannya bernafas di alam fana ini.

Sembahyang merupakan ibadat yang paling penting dan utama, malahan sembahyang merupakan ibadat yang mula-mula sekali dihisab di akhirat nanti.

Firman Allah dalam Surah al-Ankabut ayat 45 yang bermaksud: Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar keutamaannya daripada ibadat-ibadat lain dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Begitu juga apabila Rasulullah diperlihatkan mengenai satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali.

Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibril: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

Satu kaum pula dilihat mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibril: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

Cuba kita perhatikan di sekeliling kita, tidakkah perbuatan memfitnah, caci mencaci, mengumpat dan menjatuhkan maruah orang lain masih berleluasa.

Malah fitnah dan mengumpat seolah-olah dianggap sudah sebati dengan sesetengah insan tanpa mereka mempedulikan balasan di akhirat kelak.

Golongan seumpama ini seolah-olah tidak pernah merasa berdosa atau bersalah apabila mereka mengumpat atau mengatakan mengenai hamba Allah yang lain.

Malah Rasulullah juga menyaksikan seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibril: Itulah orang yang bercakap besar (takbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

Sikap ini juga masih kita lihat dalam kalangan anggota masyarakat kita. Mereka ini bercakap tanpa memikirkan kesannya.

Apabila ada sesuatu isu mereka inilah kononnya akan ke hadapan menjadi wira atau pembela tanpa menyedari bahawa ada kalanya mereka dilihat terlalu takbur dengan kuasa dan kedudukan yang dimiliki.

Hakikatnya terlalu banyak peristiwa yang dipaparkan dalam Israk dan Mikraj supaya ia menjadi teladan kepada manusia untuk menjadi insan yang bertakwa.

Ini kerana dalam peristiwa itu juga Rasulullah melihat seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti.

Rasulullah tidak menghiraukannya. Kata Jibril: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sehingga tua.

Malah Israk dan Mikraj juga memaparkan ganjaran yang akan diterima oleh hamba Allah yang bertakwa ini termasuklah balasan kepada mereka yang berjihad di jalan Allah.

Sesungguhnya bagi mereka yang beriman dan beramal soleh, peristiwa berkenaan akan menimbulkan rasa keinsafan dan kesedaran serta menjauhkan mereka daripada perkara-perkara yang mungkar.

Bertaubat

Tetapi bagi sesetengah pula ia mungkin dianggap hanya satu sejarah atau sekadar peristiwa yang sama sekali tidak mahu difikirkan oleh mereka untuk bertaubat dan kembali ke jalan-Nya.

Namun begitu apa pun keadaannya selagi nyawa dikandung badan selagi itulah Allah membuka pintu taubat kepada hamba-Nya.

Rasulullah s.a.w bersabda, Sesungguhnya Allah menerima taubat hambaNya selama nyawa belum sampai di kerongkongan.

Justeru jadikanlah sambutan Israk dan Mikraj ini sebagai landasan untuk kita bermuhasabah bagi membolehkan kita menjadi hamba-Nya yang mampu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Jangan berpuas hati dengan ibadah yang kita lakukan setakat ini dan janganlah pula terus lalai dengan kemewahan di dunia sehingga kita terlupa beribadah kepada-Nya.

Peristiwa Israk dan Mikraj mengandungi banyak pengajaran yang perlu dijadikan teladan dan pengajaran oleh umat Islam bagi menimbulkan keinsafan dalam diri untuk ke arah kebaikan. Di antara pengajaran itu ialah:

i. Kuasa Allah tidak terbatas dan Dia boleh melakukan apa saja yang dikehendakiNya seperti membawa Rasulullah dari kota Makkah ke Baitulmaqdis dan dibawa menghadap ke hadratNya di Sidratul Muntaha dalam tempoh singkat iaitu satu malam. Ini kerana apabila Rasulullah menceritakan peristiwa ini kepada masyarakat umum di Makkah, mereka mentertawakan Baginda. Hanya Saidina Abu Bakar mempercayai kata-kata Rasulullah dan beliau diberi gelaran As-Siddiq yang bermaksud orang yang benar.

ii. Sebelum Rasulullah diIsrakkan, Baginda menjalani suatu `pembedahan' untuk membersihkan hati serta dimasukkan unsur rohani, iman dan hikmat. Ini menunjukkan bahawa pada peringkat pertama untuk bertemu Allah, kita perlu membersihkan diri dan jiwa daripada pelbagai sifat buruk dan menanamkan sifat baik dan ihsan dalam diri. Dengan jiwa tenang, penuh keimanan dan ketakwaan, kita akan beroleh kemudahan untuk bertemu dan menghadap Allah SWT.

iii. Pelbagai peristiwa yang dilihat dan dialami oleh Rasulullah ketika Israk bersama malaikat Jibril memberikan gambaran menyeluruh perihal manusia di bumi ini dalam menjalani kehidupan sebagai khalifah Allah. Ada yang melakukan kebajikan manakala yang lain kekal dalam kemaksiatan. Manusia akan diadili berdasarkan amalan mereka dan menerima balasan yang setimpal daripada Allah berpandukan kepada apa yang mereka kerjakan. Orang yang melakukan perbuatan zina dan minum arak, hukumannya di sisi Allah sangat dahsyat. Mereka dibakar oleh api neraka jahanam.

iv. Rasulullah ditunjukkan segolongan manusia yang menjunjung kayu api, diambilnya kayu api itu ke atas junjungannya, ditambah-tambahnya bukan dikurangkan sehingga badan menjadi bongkok dan tidak terdaya menjunjungkannya lagi. Ini gambaran kepada orang yang suka memikul pelbagai tanggungjawab yang banyak, tetapi tidak tertunai olehnya. Hanya untuk bermegah-megah dengan pelbagai jawatan di dunia.

v. Allah juga menunjukkan kepada Rasulullah serta umatnya iman dan akidah teguh adalah asas kepada sifat keIslaman sejati dan akan diberi balasan baik olehNya. Ini berlaku kepada tukang sikat Firaun, Mashitah sekeluarga yang mana kuburnya senantiasa berbau harum semerbak sepanjang zaman.

vi . Rasulullah memilih susu berbanding arak yang ditawarkan oleh Jibril. Ini jelas menunjukkan bahawa susu adalah minuman berkhasiat. Arak pula tidak disukai Baginda dan Allah kerana memabukkan dan akan menyesatkan umat Islam daripada mengingati Allah.

vii. Beberapa tempat yang disinggahi Rasulullah untuk mengerjakan solat seperti di Madinah, Bukit Tursina dan Masjidil al- Aqsa adalah tempat yang terpilih dan mulia. Oleh itu, jika kita berkesempatan untuk berkunjung ke sana [mengerjakan haji atau umrah] adalah disunatkan untuk mengerjakan solat di tempat –tempat tersebut.

viii. Allah Maha Pengampun lagi Maha Mendengar. Bermula daripada perintah umat Islam diwajibkan mengerjakan solat 50 kali sehari semalam, atas permohonan Rasulullah sebagai kekasihNya berulang kali (sebanyak sembilan kali), Allah mengurangkannya kepada lima kali saja sehari semalam seperti yang kita kerjakan hari ini, Amalan sembahyang merupakan amalan yang dipinggirkan oleh sebahagian besar umat Islam berbanding dengan amalan-amalan lain seperti berpuasa yang diamalkan kebanyakan orang Islam, walaupun terpaksa berlapar dan berdahaga. Amalan sembahyang yang tidak memakan masa yang panjang dan ringkas, umat Islam meninggalkannya. Lebih 80% umat Islam di Malaysia meninggalkan amalan sembahyang 5 waktu sehari semalam.

Perkara ini dinyatakan oleh pakar motivasi Dr. Mohd. Kamsah dalam kajian beliau umat Islam meringan-ringankan sembahyang, sedangkan sembahyang menjadi “tiang agama”. Perkara pertama akan yang disoal di akhirat kelak ialah “persoalan sembanyang”. Jika baik sembahyangnya, maka baiklah segala amalannya di dunia ini. Allah SWT tidak akan memberi pahala kepada orang yang melakukan kebaikan kepada orang-orang yang meninggalkan sembahyang.

ix. Surah Al-Fatihah dan ayat Kursi adalah ayat suci al-Quran banyak keberkatannya sekiranya dibaca dan diamalkan dalam kehidupan seharian. Ini kerana surah ini dinyatakan dengan jelas oleh Allah kepada Rasulullah ketika menhadapNya.

 

 

Kesimpulan

Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Mafhum Firman Allah S. W. T. : “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”
(Surah Al-Israa’: Ayat 1).

Kejadian yang berlaku dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj ini perlu diperhalusi oleh umat Islam bagi memantapkan akidah dan keimanan mereka di samping melakukan muhasabah diri untuk mengubah akhlak ke arah kebaikan dengan mengambil pengajaran daripada kebesaran dan keajaiban yang berlaku ketika pelbagai peristiwa yang ditemui oleh Nabi Muhammad SAW sebagai satu pengajaran kepada umat manusia.

Martabat dan maruah umat Islam tidak akan dihormati oleh bukan Islam selagi umat Islam sendiri tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya seperti mana yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Keagungan Islam pada masa zaman silam disebabkan umat Islam ketika itu mengamalkan ajaran yang diajar oleh al-Quran dan al-Hadith. Meninggalkan dua perkara ini, keagungan Islam tersebut hancur satu demi satu. Untuk mengembalikan keagungan Islam, mahu tidak mahu kita wajib ikut perintah Rasulullah SAW. Tidak boleh menggunakan doktrin mengikut fikiran manusia yang senantiasa dipengaruhi oleh hawa-nafsu.